Pada minggu lepas, ada seorang sahabat saya mengomel tentang harga barang-barang keperluan yang mahal. Sahabat saya ni sebenarnya sudah masuk dalam kategori "melangkah senja" tapi semangatnya mengalahkan budak-budak yang baru jumpa "matahari bersinar". "Harga semua barang di Malaysia ni sudah mahal dan
membebankan. Dulu harga secawan kopi O hanya 50 sen tetapi sekarang harganya sudah naik menjadi 1.20 secawan", katanya sambil menunjukkan riak muka yang tidak puas hati. "Malahan, harga sepinggan nasi berlauk yang dulunya hanya RM1 pun sudah naik. Kalau nak makan kat kedai sekarang, setidak-tidaknya kena ada RM7 dalam poket. Nasi berlauk RM 5 dan kopi O, RM1.20. Itu pun kalau ambil 1 lauk saja. Kalau 2-3 jenis lauk, siaplah!! Yang teruknya, kita macam dah menerima harga itu seperti harga biasa dan murah!! Duit kita macam makin lama makin tak laku, dah nak jadi macam di Indon pula!", sambungnya panjang lebar sambil mengerut-ngerut kening.
Saya hanya tersengih mendengar celotehnya. Timbul semacam satu rasa kesal di hati saya selepas mendengar "rintihan"nya. Kesal kerana ramai sahabat-sahabat saya yang bercakap mengenai perkara yang sama. Kesal kerana mereka masih belum mengenali kaedah untuk menyimpan nilai ringgit mereka!Aku mengiakan semua kata-katanya tapi saya ingin tahu sejauh mana dia faham tentang wang. Maka saya mengutarakan satu persoalan kepadanya. "Kenapa wang kita tidak memegang nilai tukaran yang sama seperti suatu masa dulu?" "Biasalah! Barangkan makin lama makin mahal. Mestilah duit pun kena tambah." ujarnya sambil meneguk air kopi O kegemarannya. "Kalau begitu, perubahan ini disebabkan barang- barang bertambah mahal lah ya?", pancing saya lagi. "Yalah! Contohnya, sekilo gula 4 tahun lepas baru RM 1.20, sekarang dah RM 1.50 dah. Kena tambah 30 sen. Gula pun susah nak dapat, sebab tu harga naik." ujarnya. Nampaknya, sahabat saya ini, sah belum mengetahui tentang cerita sebenar matawang. Tapi saya sedikit risau untuk menceritakan tentang emas kepadanya. Bukan apa, saya takut dia terkena "kejutan budaya" pula. Tapi saya terpaksa ceritakan juga. Kasihan dia jika saya tidak berkongsi apa yang saya tahu.
"Macam ni lah, katalah awak ada duit seringgit pada zaman awak sekolah rendah dulu. Seringgit ni kira besar nilainya pada masa tu kan? Mungkin pada masa tu kalau nak beli nasi berlauk dengan lauk 2-3 jenis siap air kopi O pun boleh kan?", tanya saya sambil menarik sehelai tisu.
"Betul!", spontan saja dia menjawab.
"Apa nilainya pada masa ini?", tanya saya lagi.
"Nilai apa? Seringgit tu ke? Mana ada nilai besar? Nak beli sebotol kicap pun tak dapat dah!", jawab sahabat saya dengan bersemangat.
"Jadi macam mana kita nak simpan nilai seringgit tu supaya bila kita pakai duit seringgit tu kita boleh beli nasi berlauk dengan lauk 2-3 jenis dan air kopi O sama macam masa dulu-dulu?" pancing saya lagi.
"Mana boleh adik oii! Seringgit mana boleh beli barang sepuluh ringgit!" katanya penuh yakin.
"Bagaimana kalau saya kata boleh? Bagaimana kalau saya katakan saya boleh beli makanan itu dengan NILAI seringgit?", saya memulakan langkah kedua.
"Boleh? Baiklah. Sekarang cuba cerita sikit. Macam mana?", tanya dia kembali.
Dipendekkan cerita, (Cerita ni panjang lagi oiii.. penat dah menaip ni...), maka saya pun menceritakan tentang nilai wang fiat dan nilai emas dan perkaitannya. Saya ceritakan apa makna inflasi dan kaitannya dengan harga barang. Saya ceritakan juga pasal harga seekor ayam berharga 1 dirham di zaman nabi, masih juga berharga 1 dirham di zaman ini.
Dipendekkan lagi cerita, saya menjelaskan tentang ciri-ciri emas yg boleh menyimpan nilai matawang dengan stabil.
Dia akhirnya mengerut-ngerut kening dan mengangguk-angguk sambil berkata, "Kalau macam tu esok juga saya nak pergi kedai emas dan beli rantai emas untuk isteri saya!" .
Aduh! Nampaknya, saya kena ceritakan pula apa itu emas tulen dan emas perhiasan kepadanya. Tapi itu lain kalilah saya paparkan di sini.
Sekian...
p/s : Cerita ini adalah cerita rekaan semata-mata dan tidak ada kena mengena dengan yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Hahaha...
sungguh!!!! x berape nk paham la cik abg..hehe
ReplyDelete